Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau di pasaran berhubung penjualan kurma dari Israel melalui pelbagai akta yang ada di bawahnya khususnya menerusi Akta Perihal Dagangan 2011.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemantauan itu adalah bagi melihat sekiranya terdapat penjualan kurma berkenaan di pasaran dan ditawarkan kepada pengguna.

“Kita serta merta memasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan dalam Ops Pantau yang kita lancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri ini.

“Ia untuk melihat secara terperinci berkaitan dengan dakwaan penjualan (kurma dari Israel). 

“Kita juga berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan daripada awam dalam platform rasmi yang wujud di KPDN,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada kementerian akan mengambil tindakan terhadap penjualan kurma dari Israel itu menerusi dalam talian atau sebaliknya.

Rosol turut bertanyakan sama ada kerajaan akan meminda undang-undang untuk memastikan produk Israel tidak mudah untuk masuk ke dalam negara ini.

Sebelum ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilaporkan telah merampas 73 pek buah kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ dipercayai produk dari Israel.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad dilapor berkata, kurma seberat 14.6 kilogram bernilai RM678 itu dirampas di sebuah gudang di sekitar Klang, kelmarin.

Beliau berkata, selain gudang, serbuan turut dilakukan di sebuah pejabat di Klang dan sebuah kedai yang menjual makanan organik di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan lesen import terhadap sebarang produk dari Israel.

“Di bawah Perintah Kastam Larangan Mengenai Import 2023 sebagaimana yang terkandung dalam Jadual 2, Bahagian 2, KPDN tidak mempunyai bidang kuasa bagi mempertimbangkan lesen import apa-apa produk daripada Israel. Ini bermaksud di luar bidang kuasa KPDN,” katanya.-HM Online