Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan berhasrat membawa lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke pameran perdagangan di luar negara bagi membuka peluang mereka mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada pasaran global.

Bercakap kepada media di acara tahunan SME Future Day di sini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kejayaan PKS Malaysia di peringkat antarabangsa akan memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat perniagaan tempatan lain untuk mencapai kejayaan sama.

Mengulas lanjut katanya, kementerian itu melalui Bank PKS dan SME Corp membawa enam PKS Malaysia serta dua syarikat francais ke acara tahunan itu yang menghimpunkan kira-kira 5,000 PKS serta agensi kerajaan dan korporat.

Syarikat itu ialah Marniq Bersatu Sdn Bhd, Primelux Energy Sdn Bhd, Ade Azhar Trading Sdn Bhd, 59Kopa Sdn Bhd, Marrybrown dan Old Town White Coffee.

Katanya, PKS Malaysia sudah berjaya meluaskan perniagaan mereka ke luar negara dan berhasrat untuk melebarkannya ke pasaran Jerman dan Eropah pula kali ini.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan produk dan perkhidmatan syarikat PKS ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kita bawa mereka ke Berlin dan berharap ia dapat membuka laluan baru bagi syarikat berkenaan.

“Mereka juga boleh menjadi inspirasi kepada syarikat PKS lain di Malaysia bahawa perniagaan tempatan boleh berjaya menembusi pasaran baharu secara global,” katanya kepada pada program SME Future Day di Berlin, hari ini.

Pada masa sama, Ewon memberi contoh Program Eksport Perniagaan Bank PKS dan program PKS Go Global SME Corp iaitu antara program yang disokong kementeriannya untuk membantu syarikat tempatan ke luar negara.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan utama di acara itu, antara lain menyentuh pelaburan asing ke Malaysia, yang sebahagian besar disumbang oleh kestabilan politik Malaysia, tadbir urus yang baik, infrastruktur cemerlang serta hubungan mesra dengan negara lain.

“Pelaburan yang signifikan ini akan membuka pintu bagi PKS di Malaysia untuk terbabit dalam sistem rantaian bekalan bagi syarikat multinasional yang sudah melabur di negara ini,” katanya.

Ewon berkata, walaupun ini adalah penyertaan pertama mereka dalam SME Future Day, kementeriannya sudah setiap tahun menyertai pameran Gulfood di Dubai, yang cenderung kepada industri makanan dan minuman.

“Kita mahu melangkaui pencapaian itu, maka ia menjadi sebab kami di sini, Malaysia mempunyai PKS yang memberi tumpuan kepada pembuatan, teknologi maklumat (IT), kejuruteraan dan kelengkapan sukan.

“Selain itu, ada juga dalam aspek penerbitan al-Quran, yang semuanya mempunyai potensi besar,” katanya yang sudah meminta peruntukan tambahan dari Perdana Menteri bagi tujuan berkenaan.

Ewon berkata, kementeriannya juga mensasarkan untuk menubuhkan rangkaian pasaran di luar Malaysia.

“Ini sedang diusahakan kementerian. Saya akan membentangkannya dengan lebih terperinci kepada Majlis Tindakan Ekonomi Nasional yang akan bersidang pada bulan depan,” katanya.

Ewon berkata, walaupun kementerian mahu lebih banyak penyertaan dari PKS di luar negara, namun syarikat itu sendiri harus memastikan mereka memenuhi permintaan pasaran.

“Kita mahu penyertaan yang lebih besar tetapi akan ada kriteria. Contohnya dalam rangkaian makanan dan minumum (F&B), kita mahu semua produk yang dibawa ke luar negara sekurang-kurangnya mempunyai pensijilan halal.

“Ini sedang dilakukan secara aktif untuk memastikan produk ini memenuhi standard Malaysia dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Ewon berkata, kementeriannya juga sudah mengeluarkan garis panduan Alam Sekitar, Sosial dan Pentadbiran (ESG) bulan lalu untuk PKS.

Katanya, ia untuk memastikan PKS mematuhi permintaan pasaran seperti di Eropah, di mana mereka mahu produk dan perkhidmatan memenuhi keperluan ESG, sama seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

“Kami berharap lebih banyak syarikat akan mematuhi standard ini, sekali gus memudahkan kami untuk memasarkan syarikat ini di pameran antarabangsa serupa pada tahun mendatang,” katanya.-BH Online