Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan dengan pembuat dasar, ahli kumpulan pemikir dan agensi kerajaan, di Yayasan Korber di sini.
Sebaik tiba di yayasan tersebut yang juga sebuah yayasan kumpulan pemikir terbesar dan filantropi di Jerman, Anwar disambut oleh Ahli Lembaga Eksekutif Yayasan.
Turut hadir Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Antarabangsanya, Nora Muller.
Anwar berkata, pada sesi hari ini, mereka membincangkan dan berkongsi pandangan mengenai keutamaan dasar dan dasar luar negeri, serta isu berkaitan sosial, antarabangsa, hubungan geopolitik, dan perkembangan politik semasa.
Keadaan di Palestin dan Ukraine turut dibangkitkan semasa pertemuan itu, kata Anwar.
“Saya menghargai jemputan mereka dan berharap perbincangan seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata Perdana Menteri, yang sedang dalam lawatan rasmi enam hari ke negara ekonomi ketiga terbesar di dunia itu.
Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Ditubuhkan pada tahun 1959 oleh seorang usahawan Kurt A Korber, yayasan yang berpangkalan di Hamburg itu, sebuah badan pemikir dan penerbit bebas yang memfokuskan kepada isu sosial, antarabangsa dan politik.
Pejabat di ibu negara Jerman itu menawarkan platform untuk pembuat keputusan daripada politik, sains dan kumpulan pemikir untuk bertukar-tukar idea dan mencari penyelesaian kepada cabaran politik semasa secara bersama-sama. – BERNAMA