Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sejumlah 28,439 usahawan masyarakat India memanfaatkan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sejak dilancarkan pada 2008 hingga Januari lepas membabitkan peruntukan RM442.6 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata pada tahun ini, sebanyak RM30 juta disediakan di bawah SPUMI yang dijangka memanfaatkan 1,600 usahawan masyarakat berkenaan.

“Bagi 2023 walaupun hanya diperuntukkan sebanyak RM30 juta, TEKUN Nasional telah menggunakan dana dalaman sebanyak RM11.6 juta menjadikan keseluruhan pembiayaan SPUMI tahun itu berjumlah RM41.6 juta.null

“Tahun ini juga kita ada meminta (peruntukan) tambahan, namun jika tidak dapat kita akan memohon dana dalaman seperti yang telah dibuat pada tahun lalu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai jumlah penerima manfaat di bawah SPUMI hingga kini, serta usaha penambahbaikan oleh Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) supaya lebih ramai penerima dalam kalangan masyarakat India dapat memanfaatkannya.

Ramanan berkata, KUSKOP sentiasa mengadakan kerjasama dengan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI) serta persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan hebahan mengenai skim pembiayaan itu.

“Kita juga menyediakan kaunter khidmat nasihat semasa program pameran atau program keusahawanan anjuran kementerian dan agensinya seperti Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) serta Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Selain itu, melalui penganjuran Karnival Tekun MADANI Selangor yang diadakan pada 1 hingga 3 Mac lalu, kementerian juga memberi penjelasan secara langsung tentang SPUMI serta mempromosikannya melalui laman sesawang dan media sosial rasmi TEKUN Nasional,” katanya. – BERNAMA