Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemberian kad perakuan media bukan bertujuan membolehkan kerajaan mengawal wartawan di negara ini dalam melaporkan sesuatu berita.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menjelaskan kad berkenaan hanya untuk memudahkan kerajaan memudah cara kehadiran pengamal media ke acara rasmi anjuran kerajaan.

Katanya, wartawan masih boleh bertugas walaupun tidak mempunyai kad perakuan media.

“Kad perakuan media bukan lesen untuk wartawan bertugas. Bidang kewartawanan bukan seperti bidang kedoktoran, arkitek atau peguam, ia bukan badan profesional seperti itu.

“Kad perakuan media diberikan kepada wartawan oleh Jabatan Penerangan untuk memudah cara agensi kerajaan mengenal pasti wartawan ini daripada agensi atau organisasi media yang diperakui dan hadir membuat pelaporan acara rasmi kerajaan.

“Ia bukan dokumen untuk mengongkong, mengurung atau menafikan hak wartawan bertugas.

“Cuma kalau wartawan membuat liputan di tempat kejadian, tempat acara kerajaan, itulah dokumen bagi memudah cara kehadiran mereka,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang mahu kerajaan memberi jaminan kerana bimbang dengan pemberian kad perakuan media berdasarkan penguatkuasaan kod etika wartawan baharu.

Wan Saiful menyuarakan kebimbangannya jika kod etika kewartawanan dijadikan asas untuk mengeluar atau menarik balik kad perakuan media, sekali gus membuka ruang kepada kerajaan mengongkong kebebasan media.

RSN Rayer (PH-Jelutong) turut membangkitkan kebimbangan sama dan menyifatkan kod etika kewartawanan baharu boleh mengganggu wartawan menghasilkan laporan berbentuk pembongkaran.

Fahmi berkata, kad perakuan media tidak menghalang seseorang daripada menulis berita.

Sebagai yang menjunjung nilai demokrasi dan prinsip reformasi, Fahmi berkata, kerajaan tidak berhasrat mengekang hak bersuara wartawan membuat pelaporan.

“Kebebasan media adalah antara teras yang perlu disokong dan dimakmurkan.

“Alhamdulillah, sejak saya memegang portfolio ini tidak ada seorang wartawan pun ditangkap, diheret ke mahkamah atau disoal siasat kerana membuat pelaporan atau menerbitkan berita mengenai skandal,” katanya.-BH Online