Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan mesyuarat meja bulat bersama barisan peneraju industri Jerman, selain mesyuarat peribadi dengan pengurusan atasan beberapa syarikat terpilih.

Pertemuan dihadiri wakil daripada hampir 40 syarikat yang memfokuskan pelbagai bidang termasuklah pembuatan, automotif, angkasa dan farmaseutikal adalah sebahagian daripada rangka lawatan enam hari Perdana Menteri ke Jerman .

Ia termasuk wakil dari Schott AG; Siemens AG; B. Braun; X-Fab Silicon Foundries, Melexis, Volkswagen; Oldenburger Interior; PCC SE; Oryx Stainless; Fresenius; DELO Industries Klebstoffe; Airbus Asia Pacific serta Airbus Malaysia; Infineon Technology, DHL; Bayer AG dan lain-lain.

Antara yang mengadakan pertemuan peribadi bersama Anwar pula termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat semikonduktor mikro-elektrik Melexis, Marc Biron; dan Rudi de Winter yang juga CEO X-FAB Silicon Foundries, syarikat aplikasi semikonduktor analog/campuran isyarat.

Selepas pertemuan Perdana Menteri dengan Canselor Jerman, Olaf Schulz di Federal Chancellery semalam, lebih banyak perniagaan Jerman dijemput untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia di Asia Tenggara dan infrastruktur kukuh negara untuk dijadikan destinasi pelaburan pilihan.

Anwar berkata, Jerman sudah melabur hampir AS$15 bilion (RM70.24 bilion) di Malaysia dengan menyatakan syarikat-syarikat Jerman seperti Infineon Technologies AG menjadikan Malaysia sebagai hab pusat kecemerlangan dan latihan.

Sejak tahun 2000 lagi, Jerman sudah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan ahli Kesatuan Eropah, manakala Malaysia adalah rakan perdagangan terbesar Jerman di ASEAN.

Pada 2023 sahaja, perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding dengan RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada tahun 2022.

Anwar yang kali pertama melawat Jerman dan Eropah selepas menjadi Perdana Menteri, menyusun beberapa siri program sepanjang enam hari beliau di Berlin dan Hamburg.

Antara program-program itu adalah pertemuan dengan pemimpin kerajaan Jerman, wakil-wakil perniagaan besar serta peneraju industri.-BH Online