Perjanjian konsesi Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sejauh 60 kilometer sebagai alternatif kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dijangka ditandatangani seawal pertengahan tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata draf awal perjanjian dan lain-lain hal yang berkaitan konsesi lebuh raya itu kini masih pada peringkat penelitian Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaya Raya (Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad) untuk pastikan ia (tandatangan perjanjian konsesi) pada pertengahan tahun ini untuk kita tetapkan projek berjalan.
“Sekarang, ia pada peringkat draf awal perjanjian dan sebagainya oleh UKAS. Jika tahun ini kita tandatangani perjanjian, sudah semestinya kita minta ia (pembinaan WISE) dipercepatkan memandangkan banyak kerja lain juga perlu dibuat,” katanya selepas menyempurnakan pembukaan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang dibuka bermula jam 12.01 tengah malam ini, di sini, hari ini.
Selain Hasnol, hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pada 14 Disember tahun lalu, Saarani memaklumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan pembinaan WISE selepas beliau dimaklumkan ia dipersetujui mesyuarat Kabinet dua hari sebelumnya, dengan projek dibangunkan syarikat konsesi menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Lebuh raya WISE sepanjang 60 kilometer diunjur, bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar, seterusnya Kuala Kangsar.
Sementara itu, Alexander berkata, beliau memantau segala aduan diterima pihaknya daripada sesetengah negeri tertentu yang menyatakan ketidakpuasan hati terhadap prestasi syarikat konsesi yang dilantik mereka.
Justeru, beliau berkata, pihak terbabit didesak melakukan kerja dengan baik kerana sudah beberapa kali memaklumkan kepada semua syarikat konsesi yang menyelenggara jalan Persekutuan termasuk lebuh raya berhubung pelaksanaan sistem petunjuk prestasi utama (KPI).
“Apabila ingin melaksanakan KPI ini, syarikat konsesi yang diberi peluang menyelenggara jalan perlu bersama dalam program kita dan tahu pentingnya kerja mereka sempurna dan dipercepatkan segera.
“Kita harap masalah ditangani segera, sebab peranan mereka penting, jangan tunggu hingga diviralkan baru bergerak, kita kena lebih proaktif,” katanya.-BH Online