Sorting by

×

Penganjuran sebarang majlis ilmu dan agama sepanjang Ramadan ini perlu mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi menjaga kesucian bulan mulia itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Susulan itu, beliau mengingatkan semua pendakwah bertauliah di negara ini supaya bersama-sama mewarnai kesucian Ramadan dengan mengajak lebih ramai umat Islam beribadah di rumah Allah SWT.

“Bulan suci lagi mulia ini perlu diimarahkan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Kita semua perlu mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadat puasa, qiamullail, solat tarawih, doa, zikir, tadarus al-Quran, sedekah dan infak dalam memperkukuh iman serta takwa dan meraih keampunan Allah SWT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menggesa umat Islam melipatgandakan doa, solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah bagi rakyat Palestin supaya mereka bebas daripada cengkaman rejim Zionis Israel yang kini membunuh lebih 30,000 nyawa dan mencederakan lebih 72,000 umat Islam di Gaza.

“Umat Islam perlu sentiasa bersederhana dan mengelak pembaziran makanan ketika berbuka puasa nanti. Sesungguhnya, ibadat puasa itu melatih diri taat, sabar dan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT,” katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam tadi mengumumkan umat Islam di Malaysia mula berpuasa hari ini.– BERNAMA