Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersedia mengadakan pertemuan dengan Human Rights Watch (HRW) berhubung dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bahawa berlaku penderaan dan kematian di depoh tahanan Jabatan Imigresen (Imigresen).
Beliau berkata, menerusi pertemuan itu kelak, pihaknya berharap HRW dapat menunjukkan bukti serta senarai mereka meninggal dunia akibat didera ketika dalam tahanan seperti dalam laporan yang diterbitkan NGO itu, baru-baru ini.
“Saya nak jemput HRW yang menyediakan laporan itu untuk berjumpa dengan saya sendiri.
“Kalau boleh, nyatakan dakwaan berlaku penderaan dan kematian itu, nyatakan siapa mangsa, berikan angka yang tepat berlaku di mana depoh? Semenyih, Tuaran atau KLIA? Berapa bilangannya? Bila berlaku?” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.
Katanya, sekiranya HRW dapat memberi bukti bahawa berlaku penderaan membabitkan individu yang ditahan di depoh terbabit, beliau sendiri akan memulakan tindakan untuk siasatan dilaksanakan segera.
“Saya tidak akan berlengah-lengah untuk bersegera membuat siasatan, isu hak asasi ini bukan soal warga kita, bukan sekadar soal warga asing, prinsip kita adalah mempertahankan hak asasi setiap manusia yang bernyawa, ini pendirian kita,” katanya.
Tegas beliau, sekiranya dakwaan HRW itu gagal dibuktikan, ia bermakna setiap pendedahan dibuat hanyalah bersifat khabar angin.
“Saya tidak tahu sama ada HRW tahu atau tidak bahawa setiap depoh kita ada pegawai perubatan. Pemeriksaan kesihatan itu dibuat berkala.
“Saya melawat sebahagian besar daripada depoh Imigresen dan tengok sendiri bagaimana proses itu dilakukan. Makanan juga diberikan secara berjadual,” katanya.
Saifuddin berkata, buat masa ini terdapat 19 depoh Imigresen di seluruh negara yang menempatkan kira-kira 13,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal.
Daripada 13,000 tahanan, kira-kira 1,000 daripada mereka adalah kanak-kanak dan golongan itu ditempatkan di penempatan khas kanak-kanak, Baitul Mahabbah yang dikendalikan oleh Imigresen.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan beliau serius dalam mempertahankan hak asasi setiap manusia termasuk pelarian sambil memaklumkan pihaknya sendiri pada tahun lalu mengadakan pertemuan dengan pihak ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Amerika Syarikat.
Beliau juga bersedia memberi laluan kepada wakil UNHCR untuk melihat sendiri tahanan dalam depoh.
“Ketika pertemuan itu kami bersetuju dengan beberapa ketetapan. Kalau UNHCR perlukan lawatan untuk melihat siapakah yang ditahan (di depoh imigresen) itu adakah dalam kategori pelarian, kami sedia buka pintu. Cuma tentu ada tertib dalam prosesnya,” katanya.
Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa tahanan dalam depoh Imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.
Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh imigresen.
Laporan itu juga mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa – termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.-BH Online