Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon supaya inisiatif pemerkasaan wanita digandakan lagi, terutama dari segi ekuiti ekonomi.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ini kerana wanita terdiri daripada hampir 50 peratus populasi Malaysia dan menjadi golongan yang lebih berisiko tercicir apabila berhadapan dengan cabaran ekonomi atau sosial. 

“Setiap ringgit yang dibelanjakan, setiap minit yang diluangkan, setiap daya usaha dan keringat yang dicurahkan, demi kehidupan dan kesejahteraan wanita, adalah satu bentuk pelaburan kolektif yang tidak merugikan untuk Malaysia,” katanya ketika berucap ketika Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, di sini hari ini. 

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Dalam pada itu, Nancy berkata, pada tahun ini lebih 2.3 juta akan tergolong dalam kategori wanita muda berumur antara 25 hingga 34 tahun. 

Katanya, majoriti daripada wanita muda ini akan memulakan fasa kehidupan yang seterusnya termasuk memulakan perjalanan kerjaya mereka, mendirikan rumah tangga serta mempunyai anak dan berkeluarga. 

“Pun begitu, mereka akan berhadapan dengan dilema yang sukar, sama ada untuk terus bekerja dan memanjat tangga kerjaya bagi memastikan perlindungan sosial peribadi mereka sendiri. 

“Atau terpaksa berkorban dan melepaskan semua itu demi memikul ‘tanggung jawab’ komitmen menjaga ahli keluarga sama ada anak sendiri, ibu bapa atau adik beradik, mentua mahupun ipar duai,” katanya. 

Mengulas lanjut, Nancy berkata antara cabaran yang dihadapi oleh wanita di negara ini, walaupun golongan itu mendominasi jumlah di universiti, hanya segelintir mempunyai kerjaya. 

“Wanita mendominasi lelaki di universiti, tetapi hanya 56.2 peratus daripada populasi wanita yang bekerja berbanding 81.9 peratus untuk lelaki, selain itu wanita dalam lingkungan umur 30 hingga 39 tahun lebih cenderung meninggalkan kerjaya mereka secara tetap kerana komitmen keluarga. 

“Sementara itu, majoriti penerima bantuan kewangan oleh kerajaan berumur 60 tahun ke atas adalah wanita yang tidak mempunyai jaringan keselamatan ekonomi. 

“Seterusnya World Bank pada minggu ini, melaporkan bahawa sekiranya semua halangan ekonomi bagi wanita dimansuhkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dapat meningkat sebanyak 20 peratus,” katanya. 

Pada tahun ini, Malaysia memilih ‘Wanita Dijulang, Negara Gemilang’ dipilih sebagai tema Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2024.

Tema itu memberikan penekanan akan pentingnya mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan gender, pada semua peringkat sebagai usaha memartabatkan wanita di negara ini.-BH Online