Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah berada di peringkat akhir bagi meningkatkan kadar upah penjawat awam di negara ini.

Perdana Menteri berkata, SSPA baharu itu akan cuba diumumkan sebelum akhir tahun ini selepas 10 tahun gaji penjawat awam tidak dinaikkan sebelum ini.

Melalui SSPA itu, kerajaan juga akan mengkaji bagi memberi kelonggaran kepada wanita yang ingin menjaga keluarga namun masih boleh menyumbang kepada negara dengan menyediakan kadar upah berdasarkan tempoh kerja lebih pendek.

“Kita sedang mengkaji dan saya akan bincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz supaya memberi ruang dan kelonggaran (bagi wanita).

“Malaysia akan menjadi negara pertama yang memberi pengiktirafan seumpama itu kepada wanita untuk terus bekerja selain menjaga rumah tangga jika ia direalisasikan,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, malam ini. 

Hadir sama adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. 

Pada masa sama, Anwar berkata, pihaknya mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lebih tegas dan pantas bertindak kepada mana-mana laporan yang dilakukan membabitkan perkara berkaitan antigangguan seksual. 

Beliau berkata, ia susulan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) sudah dikuatkuasakan sepenuhnya dengan tribunal kepada akta itu akan bermula sebagai platform alternatif dalam mengendalikan kes berkaitan. 

“Pelaksanaan undang-undang tidak cukup sekiranya penguatkuasaan tidak berkesan maka saya berharap dengan jaminan Ketua Polis Negara, hal ini sekurang-kurangnya kita dapat tangani dengan sebaik mungkin. 

“Memalukan bagi negara Madani yang masih bicara mengenai nilai dan akhlak tapi masih ada laporan dan berita mengenai gangguan seksual yang sangat menyakitkan,” katanya. 

Pada masa sama, Anwar berkata, pihaknya mengarahkan kepada Nancy supaya memilih 100 tokoh wanita dalam pelbagai bidang untuk diberikan sebanyak RM50,000 setiap seorang dalam menjayakan program berkaitan golongan itu.

“Saya memberi cabaran di peringkat awal untuk memilih 100 tokoh wanita dan Nancy akan cerakinkan kaedah untuk diputuskan bersama.

“Melaluinya, kita akan memberikan sumbangan khas tokoh wanita sebanyak RM50,000 dan tidak terikat terhadap parti politik atau persatuan untuk mengendalikan program berkenaan,” katanya.-BH Online