Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menumpukan usaha memperkasa pertanian bandar sebagai antara fokus utama kementerian, bagi melahirkan generasi baharu usahawan dalam sektor pertanian dan makanan.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dalam hal itu, kementerian akan memanfaatkan sebahagian daripada peruntukan RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk merencana langkah mencipta usahawan pertanian bandar baharu yang berjaya melalui penerapan amalan pertanian lestari.

“Daripada dana RM1 bilion itu, kementerian melalui Agrobank diperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk melaksanakan usaha melahirkan generasi baharu usahawan dan kita akan manfaatkan sebahagiannya untuk memperkasakan pertanian bandar, bagi menggalak penglibatan masyarakat lebih luas.

“Pertanian bandar ini banyak dilakukan di luar negara, antaranya Singapura dan dengan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan termasuk peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti MADANI, kita sewajarnya menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat dalam jenis pertanian ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan wang persekolahan Agrobank 2024, di sini pada Selasa.

Pada 2 Mac, Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024), mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi, yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC)

Perdana Menteri berkata dana tersebut bertepatan dengan hasrat dan syor yang dihujahkan semasa kongres itu, antara lain untuk mewujudkan sebuah Dana Pemacu Transformasi Bumiputera.

Terdahulu, Mohamad yang diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, menyampaikan bantuan barangan kelengkapan persekolahan kepada 200 pelajar dari sekitar Lembah Klang dengan nilai keseluruhan berjumlah RM30,000.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata bantuan persekolahan itu diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan, dalam usaha membantu mengurangkan beban ibu bapa menjelang sesi baharu persekolahan.-Bernama