Kerajaan mengumumkan sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi 2024 yang dijamin di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan dikhususkan untuk syarikat Bumiputera
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata dana jaminan itu juga akan mengutamakan sektor pertumbuhan baharu Ekonomi MADANI.
Katanya, di samping itu tumpuan juga akan diberikan kepada usaha pendigitalan oleh syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Tumpuan SJPP untuk tahun ini dengan peruntukan khusus bagi bidang ekonomi hijau, teknologi moden, penjagaan kesihatan dan halal adalah bagi mendokong kerangka Ekonomi MADANI termasuk sektor keutamaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Penyediaan peruntukan jaminan di bawah SJPP adalah bagi memastikan bahawa penstrukturan semula ekonomi bukan hanya membabitkan syarikat besar dan multinasional tetapi turut disokong PMKS yang ingin menceburi bidang pertumbuhan baharu.
“Selaras dengan pendekatan terangkum ini, sukacita diumumkan bahawa sebanyak RM5 bilion daripada jumlah pembiayaan RM20 bilion bagi 2024 yang dijamin di bawah SJPP akan dikhususkan untuk syarikat Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran SJPP dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Belanjawan 2024, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas Sdn Bhd, Juanita Rusmini Abdul Jalil.-BH Online