Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Masyarakat berbilang kaum dan agama di setiap tempat perlu sentiasa hormat-menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain sebagai satu komuniti.

Mengambil contoh di Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Islam adalah agama persekutuan dan ini bermakna masyarakat perlu mempertingkat dan mengukuhkan teras Syariah bagi umat Islam.nullnull

Perdana Menteri dalam masa sama turut menjadikan Australia sebagai contoh sebuah negara yang menghormati komuniti minoriti Islam dalam kalangan masyarakatnya. 

“Kita selaku kerajaan amat menggesa agar masyarakat menghormati dan bertolak ansur di Malaysia kerana Islam adalah agama persekutuan, yang bermakna kita perlu mempertingkat dan mengukuhkan teras Syariah untuk orang Islam. 

“Tetapi pada masa sama, kami tetap memelihara dan memastikan kebajikan orang bukan Islam sama-sama dilindungi kerana mereka adalah warganegara yang sama di bawah undang-undang, begitu juga di Australia.

“Walaupun agama majoriti (di Australia) adalah Kristian, mereka telah menunjukkan toleransi dan menghargai perbezaan…saya pernah ke Canberra, Sydney, Perth dan beberapa tempat di mana mereka juga mempunyai komuniti Islam dan institusi lain di sini terutamanya seperti Al-Taqwa yang telah diberi sokongan mencukupi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Al-Taqwa College ialah sekolah pengajian Islam rendah dan menengah yang menyediakan pendidikan selama 13 tahun. 

Kolej ini diasaskan pada 1986, oleh pengetua sekarang, Omar Hallak. Ia berkembang daripada hanya satu kelas dengan 25 pelajar, kepada dua kampus yang lengkap dengan pelbagai kemudahan di pinggir bandar barat Melbourne, sebuah kem pelajar di Victoria dan sebuah kampus antarabangsa di Sentul, Indonesia.

Al-Taqwa College ketika ini mempunyai lebih 2,000 pelajar berdaftar dan lebih 300 kakitangan terdiri daripada tenaga pengajar, pekerja pentadbiran dan kakitangan sokongan.

Anwar dalam pada itu turut menggesa masyarakat minoriti di Malaysia untuk memainkan peranan dan berasimilasi sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Jadi, ini adalah naratif baharu yang perlu kita promosikan dalam semua komuniti. Kita perlu berkompromi dengan hakikat bahawa kita perlu mempertingkatkan semula iman dan nilai moral kita. 

“Kita perlu berpegang teguh kepada kepercayaan dan perbuatan kita ini penting untuk mempromosikan keamanan, keselamatan dan keadilan”, katanya. 

Selepas merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa, Perdana Menteri kemudiannya mengadakan pertemuan bersama Naib Canselor dan Presiden Monash University, Sharon Pickering di The Langham, dekat sini. 

Pertemuan itu adalah sebahagian daripada agenda memperkasakan hubungan antara Malaysia dan Australia dalam bidang pendidikan.

Ketika ini, terdapat kira-kira 18,000 pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Australia, dengan kumpulan terbesar berada di Victoria iaitu sekitar 9,000 pelajar.

Anwar ke Australia sempena lawatan rasmi empat hari bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac di Melbourne.

Perdana Menteri akan mengakhiri lawatannya ke Australia di Canberra, untuk menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU) dan bertemu Gabenor Jeneral Australia, David Hurley.-BH Online