Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan tiga isbat atau penetapan bagi mendukung aspirasi untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju agenda baharu pemerkasaan Bumiputera.
Perdana Menteri berkata, isbat itu ialah memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tata kelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.
“Bagi mendukung aspirasi yang diutarakan oleh semua lapisan masyarakat, saya berpandangan agenda pemerkasaan ini wajar dilaksanakan melalui beberapa pemacu yang menjadi fokus utama yang saya agihkan kepada tiga isbat.
“Isbat pertama, iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara perlu memberi fokus kepada beberapa pemacu utama membabitkan usaha mengukuhkan daya saing, meningkatkan penskalaan, meningkatkan dan mengekalkan pemilik ekuiti, mencipta kekayaan dan menoktahkan kemiskinan tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata di bawah isbat terbabit, beliau berharap golongan Bumiputera dapat meningkatkan taraf sosioekonomi ke landasan yang lebih baik dalam menghadapi cabaran dan peluang masa hadapan.
Bagi isbat memperkukuh kerukunan tata kelola dan institusi, Perdana Menteri berkata, ia memberi penekanan kepada penghayatan dan falsafah Bumiputera.
Ini, katanya, termasuk pengukuhan penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang perlu diberi tumpuan khusus.
“Bahkan etika kerja dan nilai integriti yang tinggi perlu diterapkan dalam tata kelola dan institusi kita.
“Dengan pelaksanaan ini, adalah diharap kita semua bersama-sama menganjakkan paradigma penyampaian perkhidmatan ke atas lebih baik, demi kemaslahatan sejagat,” katanya.
Beliau berkata, isbat ketiga pula iaitu menegakkan keadilan sosial, perlu memberi tumpuan untuk menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial.
“Antara bidang yang memerlukan penelitian khusus merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan akses kepada infrastruktur asas berkualiti.
“Selain itu, usaha untuk meningkatkan sosioekonomi Orang Asli serta keseimbangan pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak harus diberi tumpuan,” katanya.
Justeru, beliau berharap pelaksanaan isbat ketiga itu dapat memberikan hak dan perlindungan lebih saksama kepada masyarakat.-BH Online