Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan yakin sektor eksport perabot negara kembali pulih tahun ini, disokong perkembangan positif Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pasaran eksport terbesar Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata industri perabot negara majoritinya berorientasikan eksport dengan 44 peratus kayu-kayan negara dieksport ke 186 negara sejak lima tahun lalu.

“AS adalah pembeli terbesar perabot negara melebihi separuh daripada jumlah eksport perabot.

“Dengan prestasi ekonomi kembali baik yang dijangka memacu semula permintaan kediaman, ia bakal memulihkan eksport perabot negara.”Justeru, kami yakin industri perabot negara akan kembali pulih,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengerusi MIFF, Datuk Dr Tan Chin Huat.Eksport kayu-kayan dan produk kayu-kayan susut sebanyak 13.2 peratus kepada RM21.9 bilion, dengan eksport perabot jatuh 18.1 peratus kepada RM9.1 bilion pada 2023.

Mengulas lanjut, Johari berkata, di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) menyasarkan nilai eksport kayu-kayan dan produk kayu-kayan kepada RM28 bilion menjelang 2025 dan melonjak kepada RM32.8 bilion pada 2030.

“Justeru, pameran perdagangan seperti MIFF ini memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan dan meneroka pasaran baharu,” katanya.

Bagi menyokong perkembangan industri kayu-kayan negara, beliau menjelaskan, kerajaan menawarkan pinjaman mudah berjumlah hampir RM1 bilion untuk penanaman semula hutan atau dikenali sebagai ladang hutan.

“Pinjaman mudah ini dimanfaatkan oleh 88 syarikat untuk menanam semula hutan 142,000 hektar di seluruh negara.

“Kita mahu pastikan industri kayu-kayan berkembang dan terus mampan disebabkan dunia ketika ini memandang serius isu membabitkan hutan.

“Ia juga komitmen kerajaan untuk terus memulihara hutan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, MIFF bermula rancak dengan rekod 714 pempamer dari 15 negara dan wilayah bagi menyambut pencapaian 30 tahun dalam perdagangan perabot global.

Pameran tahun ini dijangka menjana jualan sehingga RM4.88 bilion.

MIFF dijangka menarik kira-kira 20,000 kalangan profesional industri untuk berkunjung ke pameran empat hari berkenaan mulai 1 hingga 4 Mac.

Selain pengeluar Malaysia, pameran tahun ini disertai pempamer dari Kemboja, China, India, Indonesia, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Thailand, Turkiye, Vietnam, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan AS. Sejak tiga dekad lalu, MIFF telah menarik pembeli dari 141 negara dan wilayah, serta mengintegrasikan ratusan syarikat Malaysia ke dalam rangkaian bekalan dunia.

MIFF diiktiraf antara 10 pasaran perabot terutama dunia dan yang terbesar di Asia Tenggara.Ia juga menjadi pameran eksport terbesar perabot kayu Malaysia dan perabot pejabat di rantau ini.-BH Online