Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 menjadi platform untuk menjana semula ekonomi Bumiputera supaya penstrukturannya dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan terbuka.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata biarpun usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera sudah wujud sejak 1965, dasar sedia ada perlu ditransformasikan mengikut perkembangan dan kepesatan ekonomi dunia serta digital.

“KEB 2024 menjadi satu kaedah untuk kita membesarkan kek ekonomi negara, bukan memotongnya kepada lebih kecil, tetapi untuk kita dapat menstruktur semula (ekonomi negara).

“Kongres ini dilakukan untuk memastikan hasrat Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan KEB menstruktur semula masyarakat negara ini dilakukan dengan lebih telus dan terbuka, sebab itu penyertaan daripada dewan perniagaan pelbagai latar belakang, kaum dan kelompok terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) yang diketengahkan pula sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan, bukan untuk menggantikan DEB.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata KEB 2024 menjadi persiapan baharu untuk masyarakat Bumiputera menghadapi cabaran ekonomi dunia.

“Saya melihat dasar pendekatan baharu dan resolusi yang akan diterima nanti memerlukan satu kajian terperinci,” katanya.

Pemerhati daripada Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh pula berkata, KEB 2024 bersifat inklusif kerana perkembangan ekonomi negara bukan saja membabitkan Bumiputera tetapi turut membabitkan kaum minoriti lain.

“Sebagai badan pemikir, perkembangan ekonomi Bumiputera penting memandangkan komuniti itu majoriti di negara ini dan sekiranya tidak maju dalam pelbagai bidang, bagaimana negara ini boleh membangun dengan pesat.

“Antara usaha boleh dilakukan kumpulan minoriti di negara ini ialah membantu Bumiputera memperkasa ekonomi dengan pembabitan syarikat atau perniagaan yang berjaya memberi sokongan, latihan dan membimbing perniagaan milik Bumiputera,” katanya.

Pemerhati daripada Kementerian Ekonomi, Isaac Rabindranath, berpandangan penganjuran KEB 2024 yang terbuka kepada kaum lain membuktikan ketelusan kerajaan.

Katanya, beliau juga teruja dengan ucapan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkannya amat inklusif.

“Saya percaya input dan maklum balas serta pembentangan dikemukakan adalah penting bagi hala tuju negara kita terutama pembabitan semua lapisan masyarakat tak mengira kaum dan bangsa.

“Seterusnya, keseimbangan kaum dan kelompok yang saya dengar dalam amanat Timbalan Perdana Menteri itu bersifat inklusif dan ini menunjukkan keseimbangan yang dipamerkan kerajaan supaya kesaksamaan dan keadilan dapat dicapai bersama semua lapisan masyarakat,” katanya.-BH Online