Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Prospek pelaburan Malaysia bagi 2024 dijangka kekal cerah dengan pertumbuhan minimum sekurang-kurangnya lapan peratus hingga 10 peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, pada 2023, Malaysia telah menarik pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM329.5 bilion bagi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.

Katanya, jumlah pelaburan pada tahun lalu itu meningkat 23 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 5,101 projek dan dijangka menjana lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu.

Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan pelaburan 2023 itu, pelaburan asing menyumbang 57.2 peratus sementara pelaburan domestik 42.8 peratus.

null

‘Bagi sasaran pelaburan tahun ini, dengan jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) empat hingga lima peratus. Lazimnya, pertumbuhan pelaburan lebih tinggi sekali ganda berbanding KDNK.

“Justeru, kami jangka pertumbuhan minimum lapan hingga 10 peratus,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2024 di sini, hari ini.

Mengenai prestasi pelaburan pada 2023, Tengku Zafrul berkata, lima sumber pelaburan asing tertinggi ialah Singapura, Belanda, Amerika Syarikat (AS), Cayman Islands dan China.

Beliau berkata, negeri yang meraih manfaat daripada pelaburan itu ialah Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Mengikut sektor, beliau berkata, sektor perkhidmatan menarik pelaburan RM168.4 bilion atau 51.1 peratus dalam jumlah pelaburan diluluskan dengan lebih 52,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan.

Mengenai impak kelemahan ringgit terhadap pelaburan, Tengku Zafrul berkata, pelaburan tidak begitu sensitif terhadap pergerakan mata wang berbanding pelaburan portfolio.

Malah, beliau berkata, impak pergerakan ringgit tidak pernah dibincangkan dalam rundingan bersama pelabur, sebaliknya pelabur lebih berminat mengenai memudahkan menjalankan perniagaan di negara ini serta produktiviti.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sehingga kini, MIDA telah menerima minat daripada bakal pelabur melalui projek utama berjumlah RM88.82 bilion. 

Selain itu, beliau berkata, terdapat 1,710 projek dalam perancangan, dengan cadangan pelaburan berjumlah RM87.8 bilion.

Katanya, MITI dan MIDA sedang dalam perbincangan serius dengan institusi penting China untuk mengukuhkan perjanjian kerjasama mengenai promosi pelaburan asing dua hala. 

“Kami berada di peringkat rundingan lanjutan, bertujuan untuk mengukuhkan perjanjian kerjasama yang tertumpu pada peningkatan promosi pelaburan asing untuk meningkatkan aliran pelaburan, menggalakkan firma China untuk meneroka peluang di Malaysia di samping memudahkan perusahaan Malaysia berkembang ke China,” katanya.-BH Online