Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di Perak masih sah dan berperlembagaan, kecuali jika ia dicabar serta diisytiharkan sebagai tidak sah, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, sama sekali tidak menjejaskan Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di negeri lain.

“Ketua Hakim Negara telah menegaskan bahawa keputusan mahkamah berhubung perkara berkenaan ialah isu Perlembagaan dan tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini, hari ini.nullnull

Menjelaskan lanjut, Saarani berkata, sebarang pindaan terhadap undang-undang syariah di Perak, termasuk Enakmen Jenayah Syariah Negeri, perlu mendapat perkenan Sultan Perak terlebih dahulu.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited memartabatkan kehakiman dan perundangan syariah secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak serta pihak berkepentingan.

Ketika ini, beliau berkata, sebuah jawatankuasa bertanggungjawab menjalankan fungsi semakan, mendraf atau menambah baik undang-undang syariah pada peringkat negeri, iaitu Jawatankuasa Penggubalan Undang-Undang Syariah bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Saarani berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perak dan Penasihat Undang-undang Perak, serta dianggotai mereka yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang dan hukum syarak.

“Ini termasuklah Mufti Negeri, Ketua Hakim Syarie Negeri, ahli akademik dan pengamal undang-undang yang telah dilantik,” katanya.

Bagi memastikan peruntukan undang-undang dapat dilaksanakan dengan baik dari aspek substantif dan prosedural, beliau berkata, agensi-agensi agama yang berkaitan seperti Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Mahkamah Syariah Negeri, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri serta Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa mengadakan mesyuarat penyelarasan secara berkala.

Dalam pada itu, Saarani berkata, terdapat sejumlah 60 pegawai serta penolong pegawai penguat kuasa agama (PPA) tetap di Perak yang terdiri daripada enam pegawai dan 54 anggota.

Katanya, pelaksanaan tugas penguatkuasaan dibantu oleh sejumlah 101 anggota penguat kuasa agama sukarela, dengan satu hingga empat anggota penguat kuasa agama ditempatkan di setiap daerah bergantung pada jumlah kepadatan penduduk.

Sementara itu, Saarani memaklumkan, pihaknya menarik balik kemudahan agihan kotak makanan melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menyerahkannya semula kepada Yayasan Perak untuk diagihkan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan beberapa Pusat Khidmat ADUN pembangkang dan kerajaan didapati menggunakan pelekat sendiri seolah-olah kotak makanan terbabit datang daripada pusat khidmat berkenaan, dan ia merupakan satu kesalahan.

“Yayasan Perak akan mengeluarkan senarai NGO yang terbabit dalam membuat agihan, bagi memudahkan orang ramai mengenali mereka,” katanya.

Beliau berkata, Yayasan Perak hendaklah memastikan semua NGO terbabit menyampaikan kotak makanan dengan amanah serta bertanggungjawab, dan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menarik balik tauliah yang diberikan kepada NGO berkenaan sekiranya terbukti ada melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sidang DUN Perak yang berlangsung hanya kira-kira tiga jam setengah hari ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian. – BERNAMA