Sorting by

×

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti semula rantaian pengedaran minyak masak paket bersubsidi di peringkat pemborongan dan peruncitan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu bertujuan memastikan bekalan minyak masak bersubsidi diedarkan secara efisien dan meluas kepada peruncit.

Beliau berkata, pengedaran secara cekap dan meluas kepada peruncit selepas ini mengambil kira keperluan penduduk di kawasan setempat.

“Selain langkah-langkah yang telah disebutkan sebelum ini, kementerian juga akan mengambil langkah kawalan tambahan seperti ‘zoning’ (penentuan zon) untuk memastikan pengedaran minyak masak paket bersubsidi terutama oleh syarikat pembungkus dan pemborong lebih tertumpu kepada keperluan kawasan setempat.

“Dengan penggunaan kaedah ‘zoning’, pengedaran minyak masak dapat diperincikan mengikut kawasan geografi atau keperluan pasaran yang spesifik, memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi disalurkan dengan lebih efisien dan berkesan,” katanya dalam jawapan bertulis yang diterbitkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang mahu kementerian menyatakan perancangan terperinci susulan ketetapan bahawa tiada larangan atau sekatan dikenakan kepada warga asing membeli minyak masa paket bersubsidi di kedai runcit.

Secara umumnya, Armizan berkata barang bersubsidi adalah untuk keperluan penduduk Malaysia dan kerajaan amat prihatin terhadap isu ketirisan termasuk penggunaan oleh warga asing.

“Pada ketika ini, mekanisme sedang dibangunkan untuk menyasarkan minyak masak bersubsidi kepada mereka yang layak membeli di peringkat runcit.

“Ketika ini, kementerian melalui Arahan Pengawal Bekalan Berhubung Kawalan Penjualan Minyak Masak Bungkusan Polibeg 1 Kilogam (kg) bertarikh 21 Julai 2022, had pembelian minyak masak paket bersubsidi ditetapkan kepada maksimum tiga paket untuk setiap pelanggan.

“Langkah ini bertujuan memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi mencukupi untuk kegunaan isi rumah. Tindakan kawalan ini diambil untuk memberi peluang lebih banyak pengguna untuk mendapatkan bekalan minyak masak polibeg 1kg,” katanya.-BH Online