Mereka yang didapati bersalah mencuri sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di seluruh negara sudah dikenakan tindakan.
Menteri Sumber Asli dan Kelastarian Alam Sekitar (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihaknya juga sudah mengambil tindakan terhadap sebarang pencerobohan kawasan NR-REE.
“Selama ini pun memang kementerian ada melakukan kerjasama dengan pihak-pihak penguat kuasa.
“Kementerian juga bekerjasama erat dengan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan nadir bumi dibuat secara lestari dan selari dengan dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pra pelancaran International Greentech & Eco Products Exhibition And Conference Malaysia (IGEM) 2024 di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu tindakan tegas tanpa kompromi diambil oleh agensi penguat kuasa terhadap mana-mana pegawainya yang bersekongkol dengan peneroka haram mencuri NR-REE.
Baginda mengingatkan, perbuatan demikian yang seumpama pepatah ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ perlu diambil tindakan tegas dan pantas oleh agensi penguat kuasa terutama Jabatan Perhutanan.
Titah baginda, bahan mineral seperti NR-REE yang begitu berharga, menarik perhatian pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan pencerobohan dengan melakukan operasi mengeluarkan mineral secara haram.-BH Online