Sorting by

×

Pelaburan diluluskan adalah petunjuk keyakinan pelabur kepada prospek ekonomi negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau membalas pertikaian bahawa prestasi pelaburan perlu diukur menerusi aliran masuk bersih pelaburan asing atau ‘net FDI flow’ dan bukan berdasarkan pelaburan diluluskan.

Katanya, jika pelaburan diluluskan lebih tinggi, maka kebarangkalian untuk lebih banyak pelaburan direalisasikan juga lebih mudah.

“Sesuatu pelaburan itu akan memakan masa panjang untuk hasilkan keuntungan, oleh itu, sekiranya pelabur tak yakin dengan prospek ekonomi negara kita, mereka tidak akan berani melabur,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata angka RM329.5 bilion itu adalah jumlah pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarah negara, meningkat 23.0 peratus daripada 2022.

Tengku Zafrul berkata, pelaburan domestik juga penting dalam pelaburan yang diluluskan.

“Satu perkara yang pengkritik selalu terlepas pandang ialah pelaburan yang diluluskan bukan pelaburan asing sahaja tetapi termasuk pelaburan domestik.

“Contohnya dalam RM329.5 bilion pelaburan yang diluluskan tahun lalu, hampir separuh iaitu 43 peratus adalah pelaburan domestik,” katanya.

Tambahnya, pelaburan domestik naik 35 peratus berbanding yang diluluskan tahun lalu.

Katanya, perkara itu membuktikan keyakinan pelabur tempatan kepada ekonomi negara kita.

“Bila orang yang kononnya pernah kerja di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bandingkan net FDI dengan pelaburan diluluskan, tanpa sedar bahawa pelaburan domestik pun terbabit sama.

“Saya rasa tidak perlulah kita kisah sangat dengan analisis itu,” katanya.-BH Online