Kerajaan negeri Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melaksanakan pertanian berimpak tinggi dan meningkatkan kadar sara diri komoditi makanan di negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM24 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, berkata jalinan strategik menerusi PKPS itu bagi memperkukuh agenda sekuriti makanan di bawah kerangka Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).
“Peruntukan yang akan disalurkan KPKM berjumlah RM24 juta melibatkan beberapa projek pertanian yang telah pun bermula sejak awal tahun ini.
“Antaranya ialah projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat Selatan dan Rawang berkeluasan 300 ekar (121 hektar), projek pembangunan ladang lembu tenusu di ladang PKPS Sungai Tengi, projek tanaman kontan dan bernilai tinggi di Selangor Fruit Valley dan projek gedung makanan ihsan Selangor,” katanya selepas sesi pertukaran dokumen MoU pada majlis penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor hari ini.
Mohamad Khairil berkata, KPKM akan berperanan sebagai pembiaya program serta menyediakan bantuan kepakaran teknikal, manakala PKPS akan menyediakan tanah serta peserta bagi semua program ini.
“Kedua-dua organisasi juga akan memperkemas peranan dalam rantaian bekalan bagi memastikan produk dapat sampai kepada rakyat pada harga berpatutan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis penutup program itu menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan bersama-sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
MoU itu ditandatangani Mohamad Khairil dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali. – BERNAMA