Sorting by

×

Taman Inspirasi Alam Semulajadi ESCAPE (ESCAPE) Ipoh berkeluasan 59 hektar di sini akan mula dibuka kepada orang ramai April depan.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ESCAPE Ipoh yang terletak bersebelahan Ikon Warisan Kapal Korek TT5 itu bakal menjadi tarikan utama sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 pada tahun ini. 

Beliau berkata pembukaan taman itu dijangka berupaya menarik sekurang-kurangnya 200,000 pengunjung setahun dari dalam dan luar negara. 

“Sudah pasti secara tidak langsung ia akan merancakkan kegiatan ekonomi serta menjadi pemangkin kepada industri pelancongan di negeri Perak khususnya di sekitar kawasan Batu Gajah.

“Kedudukan strategik ESCAPE Ipoh ini yang terletak berhampiran Kellie’s Castle, Silverlakes Village Outlet, Galeri LAT, Gua Tempurung, Taman Alam Kinta dan The Treasure Taman Herba @Gopeng boleh dianggap sebagai pelengkap kepada perancangan menjadikan Greater Ipoh (Batu Gajah-Ipoh-Kuala Kangsar) sebagai destinasi pilihan pelancong,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan ESCAPE Ipoh dekat sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Mohd Azlan Helmi Helmi. 

bootstrap slideshow

Mengulas lanjut Saarani berkata ESCAPE Ipoh turut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menjadikan pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai satu realiti. 

“Saya turut difahamkan sehingga kini ESCAPE Ipoh sudah menggajikan 100 pekerja terdiri daripada penduduk setempat dan secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada anak Perak. 

“Nilai pelaburan dalam membangunkan ESCAPE Ipoh dianggarkan sebanyak RM30 juta dan ia dilaksanakan melalui usahasama syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) iaitu Menteri Besar Incorporated (Perak) sebagai penyedia tapak dan syarikat swasta, Sim Leisure Group Ltd sebagai pengendalinya,” katanya. 

Sementara itu, Saarani menafikan bahawa promosi TMP2024 hambar dan tidak seperti negeri lain seperti Melaka dan Perlis. 

“Saya percaya selepas perayaan Aidilfitri kelak, sektor pelancongan khususnya TMP2024 akan lebih rancak daripada sebelum ini dengan mengambil kira pelbagai aspek sepanjang tempoh dua bulan kempen berlangsung. 

“Perak sebuah negeri yang luas berbanding Melaka dan Perlis, kalau nak ikutkan dari segi pemasangan banting umpamanya memang agak ketaralah, sepanjang banda raya Melaka boleh dipasang bahan promosi untuk nampak meriah namun kita juga tidak kurang hebatnya berbanding kedua-dua negeri ini,” katanya. 

Saarani ketika ditanya adakah ESCAPE Ipoh akan “dihantui” kegagalan taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) dekat Meru Ipoh, beliau yakin perkara itu tidak akan berulang. 

“Adalah tidak adil bagi kita untuk berkata demikian memandangkan ESCAPE Ipoh dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan kerjasama syarikat swasta.

“Semua persiapan di Escape Ipoh telah ada cuma mereka perlukan sedikit masa sehingga April depan untuk ia dibuka kepada umum, jika ia PFI maka sudah tentu mereka tidak mahu mengalami kerugian,” katanya. -Bernama