Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan berpendirian teguh dalam mempertahankan peruntukan Perlembagaan, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak seperti yang termaktub dalam Perkara 153.

“Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan termasuk (Perkara) 153,” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab secara ringkas berhubung cadangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim untuk meneliti semula isu sensitif berkaitan kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak.

Hassan yang memuat naik status berkenaan di laman Facebooknya semalam, berkata perkara itu perlu dikupas secara ilmiah dan berfakta dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 bagi mengangkat prestasi ekonomi Bumiputera yang dikatakan masih jauh tertinggal berbanding kaum lain.

Antara lain, beliau turut mencadangkan dalam usaha mengenal pasti sama ada kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak dirampas atau dimanipulasi segelintir elit Bumiputera di Semenanjung dan Borneo demi kekayaan diri sendiri, keluarga, rakan serta kroni.

Hassan berkata, perbincangan juga perlu dibuat sama ada tindakan afirmatif termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi membantu ekonomi golongan Bumiputera atau sebaliknya.

Katanya, KEB perlu merumuskan isu pembangunan ekonomi rakyat berasaskan pembahagian kelas kehidupan dan keperluan, berbanding berdasarkan kaum atau pun kategori Bumiputera atau bukan Bumiputera.

“Segelintir kelas atasan disebut golongan T10 misalnya, membabitkan semua kaum, sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera. Sesetengahnya golongan terlampau kaya atau ‘ultra-rich’ daripada golongan bilionair atau maha jutawan.

“Manakala golongan B60 adalah kelas bawahan daripada semua kaum. Jika dikaji mengenai golongan miskin tegar, maka kita dapati terdapat di dalamnya bukan saja rakyat miskin Bumiputera tetapi juga ramai rakyat miskin India dan Orang Asli.

“Mereka memerlukan rumah, kos sara hidup tidak menindas, perkhidmatan kesihatan yang baik, sistem pendidikan berkualiti dan jaringan keselamatan kewangan untuk kehidupan bermaruah di usia emas,” katanya.

KEB 2024 dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada 29 Februari hingga 2 Mac ini, bertujuan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dalam soal teknologi baharu dan pelan futuristik bagi generasi akan datang.-BH Online