Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan kajian bagi memanjangkan tempoh sah laku pasport Malaysia antarabangsa (PMA) kepada 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini.

Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kajian itu dibuat memandangkan kebanyakan negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura sudah berbuat demikian.

“Jabatan Imigresen dalam proses untuk melakukan satu kajian untuk memperkenalkan pasport dengan tempoh sah laku selama 10 tahun.

“Pasport kita sekarang (tempoh sah laku selama) lima tahun, sama ada kita nak kekal lima atau menuju 10 tahun, kita akan melakukan satu fasa kajian,” katanya.

null

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, kajian itu akan dibuat dalam tempoh yang munasabah sebelum keputusan dasar dimuktamadkan mengenai keperluan sama ada dikekalkan lima tahun atau dipanjangkan tempoh sah laku kepada 10 tahun.

“Kajian ini dalam tempoh munasabah, ia akan ada keputusan dasar, tetapi kita mulakan dahulu dengan aspek kajian sebelum kita peroleh keputusan dasar

“Kita ambil kita semua perkara, maklum balas orang awam dan pemegang taruh,” katanya.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) sebelum ini mengesyorkan tempoh sah laku PMA ditambah daripada lima kepada 10 tahun dengan kadar bayaran sewajarnya.

Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh, dilaporkan berkata lebih 100 negara di dunia sudah memperkenalkan pasport antarabangsa yang mana tempoh sah lakunya adalah 10 tahun.

“Banyak negara dunia ketiga juga mengeluarkan pasport untuk tempoh 10 tahun. KPISM mencadangkan pengeluaran PMA bagi tempoh 10 tahun dengan kadar bayaran yang sewajarnya.

“Buku pasport dengan muka surat sedia ada boleh digunakan, tetapi hanya tambah tempoh sah laku saja. Perkara ini akan menjimatkan kos kerajaan disamping menambah hasil negara. PMA sedia ada untuk tempoh lima tahun dikekalkan dan rakyat mempunyai pilihan,” katanya-BH Online