Sorting by

×

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Isnin berkenan menerima menghadap ahli-ahli pesuruhjaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Istana Negara, di sini.

Menurut hantaran di Facebook rasmi, pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada ahli-ahli suruhanjaya itu yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada 14 Februari lepas, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI itu yang dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpendirian isu berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara Malaysia dan Singapura dalam rundingan.

Anwar pada Disember lepas turut meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun mengadakan rundingan dengan Kerajaan Singapura membabitkan kontroversi tuntutan terhadap Batu Puteh.

Arahan itu meminta Idrus meneliti semula dan mengkaji isu berbangkit terhadap Batu Puteh yang sudah diserahkan kepada negara jiran itu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. – Bernama