Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memerhati dengan penuh teliti perkembangan pilihan raya di seluruh dunia.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kira-kira 40 negara dijangka bakal mengadakan pilihan raya dan keadaan itu dilihat mampu mempengaruhi ekonomi global termasuk Malaysia.

Sebagai contoh katanya, pemilihan presiden baharu Amerika Syarikat (AS) akan memberi impak kepada hubungan antara negara Uncle Sam itu dengan China, dan sebagai pemacu pertumbuhan perdagangan dunia, jika ekonomi kedua-dua negara itu berkembang atau terbantut maka negara lain termasuk Malaysia akan turut terima tempiasnya.

“Kita semua sedar, hubungan antara AS dan China kebelakangan ini agak tegang.

“Di mana AS telah mengenakan beberapa sekatan perdagangan terhadap China.

“China juga telah bertindak balas terhadap sekatan yang dikenakan oleh AS,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook pada Jumaat.

Sehubungan itu katanya, MITI turut meneliti sebarang perubahan polisi yang memberi impak kepada perdagangan dan pelaburan agar dapat merangka strategi sesuai untuk menghadapi semua kemungkinan.

Beliau menjelaskan, berdasarkan ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), terdapat 40 negara yang akan mengadakan pilihan raya dengan jumlah penduduk sebanyak 3.2 bilion orang dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berjumlah AS$44.2 trilion.

“Ini merupakan 41 peratus daripada populasi global dan 42 peratus daripada KDNK global,” katanya.-Sinar Harian