Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perlunya ada ketelusan dalam pengurusan sebarang dana kutipan derma di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap kutipan derma oleh mana-mana organisasi perlu mengikut peraturan bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada golongan sasar yang memerlukan.

Beliau berkata, Kerajaan Madani sendiri sentiasa mengutamakan kepentingan dalam soal pengurusan kewangan dengan penekanan kepada tata kelola yang betul bagi mengelakkan ia disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu kita cadangkan semua derma ini ikut saluran dan kita minta supaya diteliiti jumlahnya dan apa dibeli dan berapa banyak diserahkan, perlu ada ketelusan,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri sesi dialog sempena Majlis Perasmian Penutupan Pemukiman Setiausaha Akhbar dan Ketua Komunikasi Korporat di sini pada Sabtu.

Turut hadir dalam program selama dua hari yang bermula semalam itu ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Terdahulu, Anwar menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan peserta yang terdiri daripada setiausaha akhbar kepada menteri-menteri dan warga komunikasi korporat meliputi pelbagai topik dan isu semasa. – Bernama