Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi Masjid Jamek Tengah Berapit, di sini, memulakan projek kecil antaranya maahad tahfiz dan program kariah untuk mengimarahkan rumah ibadah itu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menyegerakan penyediaan surat supaya semua yang direncanakan untuk projek itu dapat disegerakan.

Beliau berkata, kos pembinaan setiap masjid baharu kebiasaannya menelan belanja antara RM7 hingga RM8 juta, namun Masjid Jamek Tengah Berapit yang dibina pada 1996 hanya membelanjakan sekitar RM3 juta.

“Oleh itu, untuk memulakan projek-projek kecil umpamanya maahad tahfiz dan program kariah masjid, saya mengumumkan peruntukan RM1 juta.

“Saya minta ICU percepatkan (menyediakan surat) supaya saya dapat luluskan segera dan Timbalan Ketua Menteri dan pejabat daerah sebagai penyelaras dapat pastikan program yang dirancang berjalan lancar,” katanya ketika berucap merasmikan masjid itu yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Pengerusi kariah masjid terbabit, Fakhrul Azman Ali, berkata masjid berkenaan siap dibina sejak 28 tahun lalu dengan peruntukannya disumbangkan oleh Anwar yang pada waktu itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Masjid ini didirikan pada Januari 1996 dan digunakan ketika solat Aidiladha pada 1997 dengan kos RM2.1 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 juta disumbangkan oleh Anwar ketika itu, manakala baki RM900,000 adalah hasil sumbangan orang ramai.

“Oleh kerana jasa dan sumbangan kewangan terhadap masjid ini, maka Jawatankuasa Kariah berharap suatu hari nanti masjid ini akan dirasmikan Perdana Menteri (Anwar) dan bersyukur apabila hasrat ini dimakbulkan,” katanya.-BH Online