Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan pembinaan dan naik taraf sekurang-kurangnya 50 taman rekreasi awam di kawasan komuniti perumahan seluruh negara setiap tahun.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata sasaran itu adalah bagi mencapai wawasan kementeriannya untuk mewujud dan menaiktaraf 500 taman rekreasi awam menjelang 2032.

“Ia juga selaras dengan hasrat menjadikan persekitaran lebih hijau selesa dan selamat kepada penduduk sekitar di kawasan perumahan

“Taman rekreasi awam ini dibina sebagai satu fisioterapi kepada penduduk. Bila ada taman untuk mereka beriadah maka memang ia akan membawa satu faedah bermanfaat,” katanya selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodlands, Bandar Baru Tambun di sini, malam tadi.

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Kor Ming berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menyerahkan permohonan berkaitan cadangan bina dan naiktaraf taman awam berkenaan kepada kementeriannya.

Katanya, keluasan tanah kosong terbiar yang ditetapkan adalah kira-kira 1.2 hektar bagi setiap taman.

Menurutnya, bagi menjayakan hasrat itu kerjasama pemaju projek perumahan juga sangat diperlukan terutama bagi menyediakan tapak taman.

“Bila ada taman sebegini untuk mereka (penduduk) beriadah, ia memang akan membawa faedah yang sangat menonjol. Seperti projek ‘menghidupkan semula’ taman di Taman Woodlands ini yang menelan kos RM500,000, ia menjadi titik fokus kepada 2,000 hingga 3,000 bilangan komuniti di sini,” katanya.

Kor Ming berkata sebanyak RM10 juta diperuntukkan kementeriannya khas bagi menaik taraf 22 taman rekreasi awam komuniti perumahan yang dijenamakan sebagai ‘Taman Rekreasi Awam MADANI’ bagi tahun ini bersempena Tahun Melawat Perak 2024 dalam usaha mewujudkan taman perumahan yang hijau dan mampan.-BH Online