Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menerima kunjungan hormat Naib Presiden Filipina yang juga Setiausaha Pendidikan negara itu, Sara Zimmerman Duterte-Carpio.
Menerusi hantaran ringkas di laman X, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air memaklumkan pertemuan di pejabatnya di Wisma Asli, Putrajaya itu membincangan tentang hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina serta usaha memantapkan kerjasama dalam beberapa sektor yang dikenal pasti.
Kunjungan itu adalah sebahagian daripada lawatan rasmi Duterte yang tiba di Malaysia semalam untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).
SEAMEO adalah sebuah badan antara kerajaan yang bertindak untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebook menyatakan Duterte turut melakukan lawatan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMRI) KKM di Setia Alam, hari ini.
Menurut KKM, lawatan itu menandakan kerjasama kukuh antara kedua-dua negara dan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memajukan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Asia Tenggara dalam bidang pendidikan dan kesihatan, termasuk melalui SEAMEO, yang mempunyai 26 institusi di seluruh Asia Tenggara.
“Malaysia sebagai ahli SEAMEO telah menubuhkan tiga Pusat Serantau SEAMEO, iaitu Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau (SEAMEO RECSAM) di Pulau Pinang, SEAMEO SEN di Melaka dan SEAMEO TROPMED Malaysia di Selangor,” menurut hantaran itu. -Bernama