Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tourism Malaysia yakin sasaran ketibaan 27.3 juta pelancong asing bagi tahun ini dapat dicapai, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Katanya, ini disokong oleh faktor-faktor seperti pemberian Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa – Sewa Khas kepada syarikat penerbangan selain Pelan Liberalisasi Visa dan promosi pelancongan yang diperhebat di luar negara.

Menurutnya, tahun lalu lebih 20 juta pelancong asing datang ke negara ini, melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 19.1 juta.

“Kita menggalakkan lebih banyak penerbangan sewa khas datang ke Malaysia.

“Usaha ini akan kita teruskan sebab kita faham dan tahu yang kita memerlukan laluan baharu serta kekerapan penerbangan lebih banyak supaya kita dapat capai sasaran pelancong yang kita tetapkan.

“Kita berharap dengan adanya insentif (Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa – Sewa Khas) yang kita berikan kepada syarikat-syarikat penerbangan, kita akan mendapat lebih banyak penerbangan sewa khas untuk datang ke Malaysia, bukan saja ke Kuala Lumpur, tetapi juga ke Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyambut ketibaan penerbangan sulung Malaysia Airlines bagi laluan Kuala Lumpur- Shenyang Taoxian International Airport, Shenyang, Liaoning, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ammar berkata pemberian Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa – Sewa Khas kepada syarikat penerbangan tertakluk kepada beberapa syarat antaranya kekerapan penerbangan, pertambahan laluan baharu dan penggunaan penerbangan sewa khas.

“Mana-mana syarikat penerbangan yang ingin mengadakan tambahan kekerapan, seperti kalau sebelum ini dia buat dua penerbangan seminggu tapi sekarang dia nak buat empat kali penerbangan dalam seminggu, kita juga beri insentif kepada mereka.

“Kita akan berusaha untuk tambah lagi program yang kita ada untuk penerbangan sewa khas kerana kita nampak ia beri kesan yang positif (pertambahan kedatangan pelancong),” katanya sambil menambah kira-kira 40 penerbangan sewa khas direkodkan datang ke Malaysia sejak Januari hingga kini.

Mengenai Program Liberalisasi Visa, Ammar berkata bermula 1 Disember lalu, kerajaan membenarkan kemasukan tanpa visa kepada warga China dan India, sekali gus memberi lonjakan kedatangan pelancong dari China.

“Pengumuman kemasukan tanpa visa untuk pelancong China berkuat kuasa 1 Disember 2023 telah mendorong pertanyaan dan tempahan ke Malaysia dari China.

“Trip.com melaporkan Malaysia akan menerima 53.9 peratus kenaikan kemasukan pelancong ke Malaysia untuk Tahun Baharu Cina 2024 berbanding tahun lepas,” katanya sambil menambah Tourism Malaysia menyasarkan ketibaan kira-kira 200,000 pelancong China sebulan datang ke Malaysia.-Bernama