Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UMNO yakin akan dapat mengumpul sejuta tandatangan bagi rayuan mendapatkan pengampunan penuh untuk bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak, menjelang minggu depan. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pengumpulan tandatangan ahli parti itu di seluruh negara sedang giat dikumpulkan ketika ini. null

“Ahli UMNO kini berjumlah 3.2 juta orang, jika diberikan tempoh sehingga minggu depan untuk mengumpulkan sejuta tandatangan itu bukan perkara yang sukar.

“Sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor, saya juga akan bawa perkara ini dalam mesyuarat bersama 26 Ketua Bahagian UMNO Johor esok yang akan dipengerusikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi UMNO Johor.

“Semua Ketua Bahagian sudah diingatkan supaya segera mengumpulkan tandatangan hingga selesai menjelang minggu depan. Perkara ini telah ditaklimatkan di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, minggu lalu,” katanya. 

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian itu berkata demikian pada sidang media selepas program pertemuan dengan Ketua-ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian hari ini. 

Minggu lalu, UMNO dilaporkan akan meneruskan usaha mendapatkan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Razak. 

MKT UMNO dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat sesuai dengan lunas undang-undang negara, di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menyasarkan seramai 75 peratus daripada keseluruhan 20,000 ahli UMNO Bahagian Pontian akan menandatangani rayuan berkenaan. 

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, usaha mengumpulkan tandatangan akar umbi itu adalah usaha dilakukan UMNO sebagai menghargai jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kerajaan. 

“Sebenarnya usaha merayu ini dilakukan ahli keluarga dan peguam tetapi kami sebagai pemimpin UMNO menghargai jasa Najib. Beliau menjadi wakil rakyat termuda selepas memenangi Parlimen Pekan pada tahun 1979, ketika itu berusia 23 tahun. 

“Seterusnya beliau menjadi Timbalan Menteri di pelbagai kementerian dan Menteri Besar Pahang serta Timbalan Perdana Menteri. Kemudian sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun. 

“Jasanya begitu lama tetapi yang dilihat cuma sembilan tahun sebagai Perdana Menteri, tetapi perlu dilihat beliau sudah berjawatan dalam kerajaan sejak berusia 23 tahun,” katanya.-BH Online