Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perlu meneliti dan mengkaji penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti penerbitan filem tempatan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, antara yang boleh ditambahbaik ialah skim wajib tayang bagi mengelakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan menghasilkan filem sekadar cukup syarat.

“Jadi ada tiga perkara yang penting, pertama adalah skim wajib tayang itu sendiri, apakah yang kita boleh lakukan penambahbaikan, kedua penulisan skrip ataupun pembikinan skrip dan ketiga aspek pemasaran sebelum filem-filem ini ditayangkan”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus dan Jalinan Mesra bersama pengusaha-pengusaha pawagam di ibu negara, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohd Fauzi Md Isa serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Fahmi turut berharap agar lebih banyak filem-filem tempatan boleh menembusi pasaran luar negara terutamanya negara-negara ASEAN. Ini seiring dengan Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah ASEAN 2025 dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Lebih 11 pengusaha pawagam mengambil peluang berkongsi cabaran dan isu semasa dalam industri perusahaan pawagam di negara pada sesi interaktif tersebut.

Program anjuran FINAS dan Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) itu merupakan satu inisiatif bagi menyokong perkembangan industri pawagam negara serta memperkukuh jalinan kerjasama dalam kalangan pemain industri.-Berita RTM