Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak 3,792 stesen minyak terlibat dengan Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), bermula hari ini dan akan berjalan dalam tempoh dua bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia bertujuan menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel yang dijangka dilaksana dalam suku kedua tahun ini.

Katanya, dalam masa sama ia akan dapat menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.

“Ia memastikan kita mempunyai mekanisme yang ampuh, pertama untuk melihat keberkesanan sistem itu dan juga kita mendapatkan maklum balas daripada syarikat minyak stesen minyak dan juga sektor industri daripada sektor pengangkutan darat barangan tersebut supaya masing-msing melihat sekiranya ada perkara-perkara yang perlu ditambah baik supaya apabila dilaksanakan secara menyeluruh kelak ia boleh berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau SKDS 2.0 bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di sini, hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata, sebanyak enam buah syarikat perintis terlibat bagi projek berkenaan iaitu Sim Yew Enterprise Sdn. Bhd; Rantau Panjang Haulage Sdn. Bhd; Mun Chuen Transport Sdn. Bhd; Tan Swee Hee Sdn. Bhd; Multimodal Freight Sdn. Bhd dan Perceptive Logistics Sdn. Bhd.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan merancang untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel pada suku kedua tahun 2024 yang bermaksud subsidi diesel tidak akan diberikan secara pukal di stesen-stesen minyak.

Justeru, KPDN menggerakkan projek rintis itu sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel ini dilaksanakan.-Berita RTM