Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Cadangan pemansuhan pencen penjawat awam akan dibentangkan di Parlimen selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sendiri akan membentangkan cadangan itu di Dewan Rakyat, jika mendapat persetujuan Kabinet.

Katanya, cadangan pemansuhan pencen penjawat awam belum dimuktamadkan dan perlu diperjelas supaya penjawat awam yang baharu, mendapat maklumat yang tepat serta tidak merasakan mereka kelompok orang yang rugi, jika sistem saraan berkenaan dilaksanakan.

“Kalau tanya saya, saya boleh tangguh biar perdana menteri lain yang buat. Tapi sampai di suatu peringkat, tak boleh bayar (pencen). Sebab itu kita kena lihat fakta, unjurannya.

“Kes berkaitan isu pencen penjawat awam ini sudah lama. Semasa saya menjadi menteri kewangan dulu iaitu tahun 90-an, ada cadangan untuk mengkaji semula bahawa keputusan untuk membatalkan skim saraan pencen ini dikemukakan sejak tahun 90an.

“Memang untuk orang politik berbeza. Tapi saya fikir munasabah kalau kita kaji sekali jika bagi penjawat awam ditiadakan, orang politik pun ditiadakan. Namun, ia tertakluk kepada keputusan di Parlimen.

“Kalau Kabinet bersetuju, saya akan bentangkan (di Dewan Rakyat) dan kalau ada Ahli Parlimen hendak tolak, dia tolak tapi saya akan bentang atas tanggungjawab moral,” katanya ketika berucap merasmikan Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan (Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan) di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan bersedia mendapatkan pandangan daripada Ahli Parlimen terlebih dulu walaupun mungkin akan ada permintaan daripada mereka untuk mewujudkan elaun khas dan sebagainya seperti penjawat awam.

“Saya akan dengar kerana setakat ini belum lagi bentangkan kepada ahli-ahli Parlimen kecuali perbincangan awal. Sukar bagi saya hendak nyatakan jika dibuat pengecualian kepada orang politik.

“Kalau dia hendak elaun-elaun khas atau lain-lain seperti juga penjawat awam, boleh bincang tetapi dari segi ‘consistency’ (keseragaman) dalam memperkenalkan sesuatu dasar, ia perlu bersama,” katanya.