Sorting by

×

Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bukan hanya menyediakan capaian internet secara kolektif dan memperkasa ekonomi digital penduduk setempat, malah memainkan peranan penting sebagai pusat sehenti yang membantu penyebaran maklumat dan pengemaskinian data.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, hampir 911 PEDi seluruh negara menerima kunjungan masyarakat bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan.

“Tahun lalu kita buat kaji selidik, hampir semua atau majoriti daripada 911 PEDi seluruh negara dan kita dapati banyak daripada PEDi ini bukan hanya fokus kepada ekonomi digital, ia lebih seperti mini Pusat Transformasi Bandar (UTC), orang pergi ke sesebuah PEDi untuk mendapatkan maklumat dan mereka boleh ambil beberapa tindakan sama ada untuk mendaftar, muat turun borang, isi borang dan sebagainya.

“Kelihatan berdasarkan maklum balas rakyat berinteraksi dengan PEDi lebih kepada pusat sebaran maklumat. Ia sebagai nadi atau pusat yang maklumat dapat kita sebarkan”, katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Taklimat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bersama Komuniti MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu negara.-Berita RTM