Sorting by

×

Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama, berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini selepas selesai Mesyuarat Jemaah Menteri.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh serta Hazani.

Hazani sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah JabatanKeselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman sejak September 2021.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata tugas Hazani pertama adalah menyegerakan pembikinan rang undang-undang untuk menjelmakan entiti MCBA.

“Dijangkakan jika semuanya berjalan lancar dengan kerjasama Peguam Negara, kita jangka pada sesi Parlimen Mac ini sasaran kita untuk bentangkan bagi tujuan kelulusan.

“Bermula daripada situ nanti, akan diteruskan dengan program koordinasi yang lain dengan agensi-agensi yang terbabit,” katanya.

Mengenai pemilihan Hazani sebagai Ketua Pengarah MCBA, Saifuddin berkata pelantikannya berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

“Pertama, kerana beliau seorang yang senior dan banyak pengalaman dan kedua, beliau ada legasi dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sewaktu insiden Lahad Datu tempoh hari.

“Ia membawa kepada penubuhan entiti baharu iaitu ESSCOMM bagi mengawal keselamatan di timur Sabah. 

“Maka dengan pengalamannya mengepalai bahagian yang penting dalam pasukan polis dengan kekuatan anggota JKDNKA lebih 20,000 orang, kita memerlukan seorang individu yang mempunyai ‘commanding skill’ yang tinggi”, katanya.

Sementara itu, Hazani yang ditemui berkata beliau bertekad untuk memberi komitmen terbaik dalam menyempurnakan tanggung jawab itu.

MCBA adalah agensi tunggal yang akan mengawal selia sempadan negara bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

Sebelum ini Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan agensi tunggal kawalan negara (SBA).

Katanya lagi, Kabinet sudah merestui cadangan menubuhkan entiti baharu SBA yang akan memakai satu nama dan seterusnya beroperasi sebagai satu agensi kawalan sempadan baharu dengan RUU mengenai dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun ini.

Pada Belanjawan 2024 dibentang Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan SBA sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Inisiatif SBA yang dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk, antaranya Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).-BH Online