Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini melancarkan aplikasi MyPLUS-TTA bagi membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan ketika musim perayaan.

MyPLUS-TTA adalah aplikasi berkonsepkan pengagihan trafik yang mengikut pola perjalanan pada musim-musim perayaan sebelum ini. Ia membantu pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, MyPLUS-TTA akan memberi manfaat khususnya kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan selain memperkukuhkan agenda dan memenuhi aspirasi pendigitalan kerajaan. 

“Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS sejak 2007.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuhraya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar serta memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” katanya ketika melancarkan aplikasi tersebut di Persada PLUS, di sini, hari ini.

Alexander berkata kementeriannya komited dalam mendukung hasrat kerajaan memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien.

Katanya, inovasi teknologi penyelenggaraan jalan amat penting dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama semua pihak.

Menurutnya, ini terbukti dengan pelancaran Kempen MyJalan sebelum ini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menggesa semua pemain industri lebuh raya untuk mengadaptasi mengikut perkembangan teknologi terkini bagi mendorong pembangunan masa hadapan yang mampan dan lestari.

“KKR akan sentiasa menyokong penuh inisiatif yang diperkenalkan oleh setiap syarikat konsesi lebuh raya Malaysia terutamanya dalam pembangunan teknologi dan digital yang menjadi fokus utama negara pada masa kini bagi memudahkan rakyat di negara kita sendiri,” katanya. 

Alexander berkata, kementeriannya sentiasa berusaha mencari ruang dan peluang dalam membuat penambahbaikan setiap inisiatif yang ditawarkan.

Katanya, bagi menambah baik aplikasi MyJalan, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama PLUS bagi mengintegrasikan aplikasi MyPLUS-TTA ke dalam aplikasi MYJalan pada setiap musim cuti perayaan. 

“Ini bagi memudahkan rakyat untuk mengakses serta merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien. 

“Integrasi MyPLUS-TTA di dalam MyJalan membolehkan aplikasi ini diakses oleh lebih ramai pengguna lebuh raya dan mengukuhkan lagi fungsi MyJalan sebagai ‘One-Stop Centre’,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata dengan pelancaran MyPLUS-TTA pihaknya akan meneruskan usaha dalam menjadikan lebuh raya kendaliannya sebagai lebuh raya pintar.

“Komitmen kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada semua pengguna lebuhraya. Pengenalan inisiatif digital seperti MyPLUS-TTA bukan sahaja membantu pengguna merancang perjalanan dengan lebih baik tetapi menyumbang kepada pengagihan kenderaan yang lebih cekap di lebuh raya.

“Kami berharap semua pengguna menerima baik MyPLUS-TTA kerana dengan penggunaan yang tinggi, ianya akan menambahbaik data dikumpul dan akan digunakan sewaktu musim perayaan lain atau waktu puncak lain. MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi aplikasi PLUS,” katanya.-BH Online