Sorting by

×

Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Ketibaan Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang serta Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar.

Istiadat dimulakan dengan memeriksa Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh 102 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Deputi Superintendan Mohamad Zaini Ismail, seterusnya diikuti Istiadat Angkat Sumpah Perlantikan di Dewan Lapau pada jam 4 petang.

Wan Junaidi terlebih dahulu mengangkat sumpah sebelum menandatangani Surat Sumpah disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Beliau kemudiannya menandatangani Surat Pengisytiharan sebagai Yang Dipertua Negeri disaksikan oleh Premier Sarawak.

Jumaat lalu, Wan Junaidi, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-78 pada 1 Februari ini menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Perlantikan beliau mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 sehingga 26 Januari 2028, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014. – Bernama