Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama syarikat pengeluar tuala wanita, Kotex Malaysia telah menjalinkan kerjasama menerusi program “KASIH Remaja: Sihat dan Selamat”untuk menoktahkan stigma haid dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Menterinya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata stigma haid masih tebal dalam kalangan masyarakat terutama di luar bandar kerana kesukaran mendapat akses kepada sanitasi dan produk kebersihan haid.

“Rasanya masih terutama di luar bandar sebab apabila tidak mempunyai kemudahan yang betul-betul membantu melindungi daripada diketahui oleh orang, stigma ini masih berlaku” katanya kepada media selepas melancarkan program tersebut di Kuching hari ini.

Laporan Kajian Status Pengurusan Haid dalam kalangan pelajar perempuan di Sekolah Menengah yang dilaksanakan tahun lepas mendapati 9.9 peratus remaja perempuan mempunyai masalah untuk mendapatkan produk pengurusan haid.

Kata Nancy, Sarawak merekodkan peratusan tertinggi kurangnya akses mendapatkan produk pengurusan haid iaitu 15.2 peratus.

Tambah Nancy, program berkenaan juga bagi memfokus kepada pendidikan dan kebersihan haid serta kesihatan reproduktif yang komprehensif selain memberi pemahaman mendalam kepada golongan lelaki agar haid menjadi perkara normal dalam kehidupan harian.

Nancy turut mendedahkan RM5.3 juta diperuntukan untuk perlaksanaan program sebut yang menyasarkan penyertaan 600,000 remaja perempuan berumur 13 hingga 17 tahun selama tiga tahun di seluruh negara.

Program tersebut juga dilaksanakan dengan sokongan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Yayasan Kebajikan Negara.-Berita RTM