Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Ia melibatkan beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Tun Daim, 86 tahun didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang merupakan kesalahan tidak mendedahkan aset, seperti dikehendaki oleh agensi itu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda RM100,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM 280,000 dengan seorang penjamin warganegara. Tiada syarat tambahan dikenakan berikutan keadaan kesihatan yang dihadapi Tun Daim.

Mahkamah turut mengingatkan kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen bersifat subjudis terhadap kes itu.

Hakim Azura Alwi menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Terdahulu, Tun Daim tiba di Mahkamah Kuala Lumpur sekitar pukul 8.45 pagi dengan berkerusi roda dan ditemani isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.-Berita RTM