Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

 Pemandu dan penunggang p-hailing kini boleh menikmati perkhidmatan Internet yang ditawarkan pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula hari ini hingga 23 April depan.

Mengumumkan perkara itu ketika melancarkan pakej p-hailing Rahmah di Angkasapuri di sini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pakej berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi membabitkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).

Beliau berkata, kerjasama itu turut membabitkan 16 penyedia platform p-hailing di negara ini, antaranya FoodPanda, Grab, Bungkusit, Shopee dan Lalamove bagi menghargai jasa golongan pemandu dan penunggang p-hailing.

“Kerjasama seperti ini kita jalinkan untuk menyediakan pakej berpatutan bagi kategori yang disasar iaitu membabitkan kira-kira 200,000 rider kita,” katanya.

Fahmi berkata, usaha yang dilaksanakan itu adalah antara langkah penting kerajaan bagi membantu golongan berkenaan.

Ditanya sama ada pakej itu akan dilanjutkan beliau berkata, perkara itu kemungkinan diteliti nanti.

“Kita akan buka selama beberapa bulan untuk lihat prestasi langganan, dan selepas mungkin beberapa minggu kita akan dapat maklumat terkini.. mungkin selepas Tahun Baharu Cina, dan sekiranya perlu, kita akan cadangkan supaya dilanjutkan,” katanya.

Pakej khas telekomunikasi dengan diskaun istimewa bagi pekerja p-hailing itu adalah hasil perbincangan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif semua syarikat telekomunikasi di negara ini.

Semalam, Fahmi dilapor berkata, Kerajaan Madani mendengar keluhan kumpulan pekerja itu dan berharap usaha yang dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari. Pakej p-hailing Rahmah juga bertujuan meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-hailing dan membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan semasa melaksanakan tugas.-Harian Metro