Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia menyarankan anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) melakukan segala-galanya dalam usaha menghentikan kekejaman didalangi Israel terhadap penduduk Palestin.

Ketika menyampaikan pendirian Malaysia sewaktu berucap dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang

Kemuncak NAM ke-19 di Kampala, Uganda yang berlangsung kelmarin dan hari ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk

Mohamad Alamin, mengingatkan negara anggota NAM agar bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan keadilan, keamanan dan hak asasi untuk rakyat Palestin.

Beliau menegaskan, nasib menimpa rakyat Palestin sekarang berpunca secara langsung daripada kegagalan sistem pelbagai hala dan sikap dwistandard yang ditonjolkan negara anggota tertentu.

“Satu-satunya cara yang berdaya maju ke hadapan adalah penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka, selaras penyelesai dua negara berdasarkan dalam sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Kita mesti melakukan segala-galanya untuk menahan Israel, kuasa pendudukan dan sepenuhnya bertanggungjawab atas melakukan pembunuhan beramai-ramai serta terlibat dalam jenayah kemanusiaan dengan sewenang-wenangnya sehingga melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

“Justeru Malaysia menyuarakan kekecewaan yang meluas dalam Majlis Keselamatan (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) (UNSC) kerana membiarkan mereka dimanipulasi dan lumpah, tidak dapat bertindak balas terhadap isu mendesak berkait keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Inilah sebabnya Malaysia secara konsisten menyeru pembaharuan Majlis Keselamatan (UNSC). Jika kunci persoalan iaitu veto tidak ditangani dengan berkesan, PBB berkemungkinan akan terus membiarkan dirinya dalam keadaan lumpuh,” katanya.

Mohamad Alamin mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak NAM ke-19 selama enam hari bermula 17 Januari lalu.

Beliau turut menyuarakan kegusaran Malaysia sekiranya pergolakan di persada antarabangsa terus berlarutan tanpa menunjukkan kesan bakal berhenti.

Memetik apa yang berlaku di Palestin dan Ukraine termasuk segelintir negara besar yang cuba menunjukkan kuasa persaingan, beliau menegaskan ia cuma menyumbang kepada ketidaktentuan global yang lebih meluas.

“Dari segi ekonomi, banyak negara masih bergelut dengan kadar pertumbuhan rendah, diburukkan lagi dengan peningkatan kos sara hidup, keberhutangan, pengurangan pelaburan dan peningkatan perlindungan perdagangan.

“Ia menghalang kita merealisasikan kemakmuran bersama. Dengan itu, kita memerlukan tindakan kolektif yang lebih besar,” katanya.

Untuk itu, beliau menegaskan dalam mendepani cabaran kontemporari memerlukan perpaduan dalam kalangan anggota NAM sebagai perkara yang mustahak dan perlu diberi keutamaan tertinggi.

Memberi contoh Prinsip Sidang Bandung yang dihuraikan 69 tahun lalu, katanya ia harus memberi inspirasi kepada semua negara anggota dalam mempergiatkan semula pergerakan ini.

“Ia termasuk diharapkan dapat membantu memperkukuh kekuatan kolektif NAM sebagai kita pernah mengemudi isu-isu yang muncul menerusi solidariti Global Selatan.

“Ini akan membolehkan NAM kekal berwibawa dan responsif dalam memerangi ketidakadilan yang sedang melanda komuniti antarabangsa.

“Pada saat-saat genting beginilah, kita mesti gandakan usaha untuk memajukan keamanan, kesaksamaan, kestabilan dan pembangunan untuk semua,” katanya.-BH Online