Sorting by

×

Pegawai dan anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan dihantar menjalani latihan di luar negara bagi mendapat pendedahan berkaitan pengurusan bencana.

Ini sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan agensi terbabit terhadap jururunding atau pakar luar yang memerlukan kos tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara negara yang dikenal pasti ialah Jepun dan Amerika Syarikat.

“Ini adalah satu usaha yang dulunya kita mengambil pakar-pakar luar negara untuk diletakkan di jabatan kita ataupun membayar kos untuk jururunding yang tinggi lebih baik kita bersetuju dengan Perdana Menteri untuk menghantar pegawai-pegawai kita ke luar negara bagi mendapatkan latihan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga NADMA di Pulau Meranti, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga berkata SMART kini berada sebaris dengan pasukan penyelamat elit di seluruh dunia.

Beliau berkata berdasarkan pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016, SMART adalah pasukan kedua teratas di ASEAN serta kelapan di Asia Pasifik.

“Dengan penambahan modul kursus dibuat dalam negara dan juga peralatan yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, saya yakin SMART akan berada di kedudukan yang lebih tinggi,” katanya.-Berita RTM