Sorting by

×

Peruntukan untuk Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) dinaikkan kepada RM5.8 juta pada tahun ini, berbanding RM2.6 juta tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata ia selaras dengan pendirian kementeriannya untuk berdiri bersama pekerja yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara, sekali gus memerlukan kesatuan sekerja terus didukung dan diperkasa.

Katanya, had maksimum permohonan geran untuk kesatuan sekerja juga dinaikkan daripada RM10,000 tahun lalu kepada RM20,000 bagi tujuan memperkasa pengurusan.

“Pemberian geran PHEKS berkenaan adalah tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

“Dua Jawatankuasa ditubuhkan bagi tujuan penilaian permohonan, iaitu Jawatankuasa Teknikal PHEKS dan Jawatankuasa Panel Penilai/Pelulus PHEKS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Steven berkata Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) akan mempromosi geran dan program di bawah PHEKS kepada semua kesatuan sekerja melalui Pejabat Negeri JHEKS di seluruh negara selain sesi taklimat secara bersemuka serta pengiklanan di laman sesawang jabatan, iaitu jheks.mohr.gov.my.

“Justeru, semua kesatuan sekerja disaran untuk menyertai inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.- BH Online