Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tarif air domestik akan dinaikkan purata 22 sen bagi setiap meter padu di Semenajung dan Labuan, berkuat kuasa 1 Feb, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Bagaimanapun, SPAN berkata kenaikan itu masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod 2022.

Katanya, pelarasan tarif air itu berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras kenaikan tarif.

“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemampanan industri perkhidmatan air untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi mekanisme penetapan tarif, SPAN berkata kadar utiliti itu akan dikaji setiap tiga tahun untuk membantu operator meningkatkan perkhidmatan dengan membuat pelaburan berterusan.

Jelasnya, perbelanjaan itu boleh digunakan untuk membina dan naik taraf loji rawatan air, mengganti paip usang, penyenggaraan berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap.

Suruhanjaya itu juga menyarankan operator di negeri meneruskan inisiatif sedia ada dengan memberi bantuan bersasar seperti rebat kepada pengguna domestik B40.

Disember lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tarif air domestik akan disemak awal 2024, selepas ada negeri tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun. – FMT