Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memulakan Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sebagai menyuarakan aspirasi rakyat Malaysia menuntut keadilan dan keamanan Palestin.

“Poskad khas ini adalah bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia dengan mendesak PBB menerima Palestin sebagai negara anggota dan menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis segera dihentikan.

“Poskad khas ini akan diserahkan menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB. Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres.

“Rakyat Malaysia boleh ikut serta dalam Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB dengan membeli poskad ini bermula esok di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad,” kata Perdana Menteri di laman sosial rasminya.

Kempen itu turut disertai barisan Jemaah Menteri yang menandatangani poskad tertera ayat We appeal for the UN to accept The State of Palestine as a full member. Ceasefire now! sebelum mesyuarat Kabinet hari ini

Sementara itu Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan penghantaran pertama poskad khas dibuat melalui Wakil Tetap Malaysia ke PBB bagi menekankan peri pentingnya satu saluran diwujudkan untuk membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan pandangan kepada PBB dalam memelihara keamanan dan keselamatan sejagat.

Kenyataan itu menyebut Malaysia juga berharap inisiatif berkenaan mendapat perhatian serius daripada Guterres untuk menerima Palestin sebagai ahli PBB dan segera menghentikan keganasan yang berlaku.

Poskad itu boleh dibeli mulai esok di semua pejabat pos pada harga RM2 sekeping (termasuk setem pracetak 90 sen) dan orang ramai juga boleh membuat pembelian secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd https://shop.pos.com.my/. -BH Online