Sorting by

×

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengemukakan notis tuntutan terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, supaya memohon maaf tanpa syarat berhubung hantaran berunsur fitnah di Facebook yang mendakwa beliau (Shamsul Iskandar), melakukan penyelewengan dana awam.

Tetuan SN Nair & Partners yang mewakili Shamsul Iskandar, menghantar notis tuntutan itu hari ini.

Menurut peguam Datuk SN Nair, anak guamnya menuntut Badrul Hisham menarik balik hantaran di Facebook itu dengan serta-merta dan memadamkan komen yang menyinggung perasaan dan bersifat memfitnah.

Beliau berkata anak guamnya juga menuntut aku janji bertulis daripada Badrul Hisham, untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam hantaran Facebook tersebut.

“Sekiranya anak guam saya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari daripada tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memohon suatu perintah injunksi dan meneruskan tindakan perundangan terhadap Badrul Hisham.

“Anak guam kami juga mengarahkan kami untuk menuntut ganti rugi atau pampasan RM5 juta daripada Badrul Hisham atas kecederaan teruk dilakukan ke atas reputasi anak guam,” kata peguam itu.

Notis tuntutan itu mendakwa pada 5 Jan lepas, Badrul Hisham telah menerbitkan atau menyebabkan penerbitan suatu hantaran melalui akaun Facebooknya di bawah nama ‘Che GuBard’ yang telah menerima 803 reaksi, 146 komen dan 274 perkongsian setakat tarikh surat ini.

Nair berkata hantaran itu merupakan kenyataan-kenyataan fitnah yang membawa maksud, antaranya Shamsul Iskandar telah menyalahgunakan kuasa sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, melakukan penyelewengan dana awam, seorang yang tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.

“Selain itu, kenyataan tersebut membawa maksud anak guam kami (Shamsul Iskandar) seorang yang korup dan telah melakukan jenayah, seorang yang licik dan menggunakan taktik kotor, seorang yang memanipulasikan orang lain serta tamak,” kata Nair.

Menurut Nair, kenyataan fitnah itu tidak benar, berniat jahat serta penyelewengan fakta yang menunjukkan ketidakwajaran moral dan undang-undang di pihak anak guamnya dan pada dasarnya telah dilakukan dalam usaha untuk mencari publisiti murahan untuk meraih manfaat dan tujuan politik. – BERNAMA